Jan 1, 2007

arkib fantastik

Publication : BH
Date : 30/12/2005
Page Number : 04
Headline : Dentuman kuat jam 11 malam
Words : 541
Oleh Ahmad Ghazali Musa; Mona Ahmad; Rosli Abdul Jalil
Text :
KOTA BHARU: Anak bongsu pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan dekat Muadzam Shah, Pahang, kelmarin, tidak menyangka tangannya yang menggeletar ketika bersalam ibu bapanya menjadi petanda kedua-duanya akan pergi buat selama-lamanya. Siti Azila Awang, 28, berkata dia berasa tidak sedap hati ketika mengiringi ibu bapanya, Awang Che Minah Teh dan Che Mas Jamal ke kereta yang dipandu abang iparnya yang juga bekas tentera, Che Pa Ishak, 42, dihalaman rumah mereka pada jam 12 tengah hari. "Ibu menegur saya kerana tangan menggeletar dan sejuk ketika bersalam dengannya. Saya rasa berat hati dan dapat rasakan sesuatu yang buruk akan berlaku.Tak sangka, kami tidak dapat bertemu buat selama-lamanya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Durian Hijau, Kok Lanas di sini. Dalam kejadian itu, lima sekeluarga terbunuh apabila kereta yang dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan tujuh kenderaan di Kilometer 121Jalan Kuantan-Segamat. Selain Awang dan Che Mas, Che Pa, dua anaknya, Mohd Farid Fakharuddin, 8 dan Siti Musliha, 6, turut terbunuh. Azila berkata, kejadian itu hanya diketahui kira-kira jam 5 pagi semalam apabila anggota Balai Polis Ketereh memaklumkan kepada kakaknya, Siti Aniza, 36, yang juga isteri Che Pa. "Abang ipar saya berulang kali mengajak kakak saya mengikutnya tetapi kakak enggan kerana sibuk berniaga. Kakak ada telefon ayah, tetapi ayah kata jangan telefon lagi kerana mereka sesat dan tidak sampai lagi keFelda Keratong 2. "Kira-kira jam 3 dan 4 pagi pula, kakak telefon lagi tetapi tiada jawapan membuatkan dia menyangka mereka tidak mahu diganggu, hinggalah polis datang memaklumkan kejadian ini," katanya. Azila berkata, ibunya berhasrat bertemu adiknya, Abdul Satar, yangdijadual ke Makkah tetapi tidak kesampaian kerana terbabit dalam kemalangan itu. "Pakcik bertolak ke tanah suci hari ini (semalam), dia sudah dimaklumkan mengenai kemalangan ini. Sebelum ini, ibu bapa saya selalu menziarahi pakcik tetapi ini adalah kali pertama abang ipar saya kesana," katanya. Siti Azila berkata, abangnya, Mohd Anuar bersama Siti Aniza dan anak sulungnya, Mohd Faiz, 14, bergegas ke Muadzam Shah jam 9 pagi semalam untuk menuntut jenazah ibu bapa mereka, suami dan anak-anaknya. Di MUADZAM SHAH, seorang lagi anak pasangan itu, Mohamad Anuwi, 30,berkata kali terakhir beliau bercakap dengan bapanya ialah kira-kira sejam sebelum kejadian itu. "Saya menghubunginya beberapa kali kerana berasa tidak sedap hati apabila mereka mengambil masa terlalu lama untuk tiba di Keratong. "Pada jam 10 malam apabila saya menghubunginya, mereka sudah berada diBandar Tun Razak, Muadzam Shah. "Saya minta mereka tunggu di Bandar Tun Razak sementara seorang saudara menjemput mereka, tetapi mereka menolak kerana katanya mereka sudah tahu jalan untuk ke sana. "Selepas itu, saya tidak dapat lagi menghubungi mereka dan saya sangkakan mereka sudah sampai di rumah bapa saudara di Keratong," katanya yang ditemui di Bilik Mayat Hospital Muadzam Shah. Mohamad Anuwi, atendan kesihatan di Pusat Kawalan Kusta, Sungai Buluh berkata, beliau menerima berita kemalangan itu kira-kira jam 6 pagi apabila Siti Aniza menelefonnya. Sementara itu, seorang peniaga di Perantau Damai, Ishak Mokhtar, 51, berkata beliau berada dalam kedainya apabila mendengar bunyi dentumankuat, kira-kira jam 11 malam. "Saya bergegas keluar dan melihat orang ramai yang sedang makan, bertempiaran lari apabila sebuah trailer merempuh tiang konkrit gerai dan beberapa kereta yang diletakkan di hadapan gerai," katanya. Ishak yang juga Ahli Majlis Daerah Rompin (MDR) berkata, ketiadaan lampu jalan juga mungkin menyumbang kepada kejadian itu.
FAKTA NOMBOR
Kemalangan di Kilometer 121 Jalan Kuantan-Segamat
5 Terbunuh
7 Kenderaan terbabit dalam kemalangan
***
February 09, 2005 19:43 PM

Ibu Tidak Sangka Mata Kiri Bergerak Tanda Kehilangan Seorang Anak
BENTONG, 9 Feb (Bernama) -- Seorang ibu tidak menyangka mata kirinya yang bergerak-gerak sejak Selasa merupakan petanda dia akan kehilangan salah seorang daripada lima anaknya. Fatimah Ali, 55, berkata sejak dari Selasa beliau merasa tidak sedap hati apabila mata kirinya tidak berhenti-henti bergerak sehinggalah dia dimaklumkan tentang kematian anak keempatnya Zulkifli Said, 29, tengah malam tadi. "Kali terakhir makcik berjumpa dengannya ialah pagi semalam, iaitu ketika dia (Zulkifli) meminta makcik menghantarnya ke tempat kerja," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah mayat Hospital Bentong di sini, Rabu. Zulkifli yang merupakan anak keempat Fatimah meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Km12 Felda Kemasul-Triang, dekat Felda Mancis, Bentong, Selasa apabila kereta yang dinaiki bersama-sama empat sahabatnya terbabas dan melanggar sebatang pokok kelapa sawit. Kejadian pada pukul 11.45 Selasa itu turut mengorbankan Abdul Hadi Abdul Mutalib, 33, yang memandu kereta itu, Nik Faizal Raja Deraman, 25, Mohamed Razi Suut, 31, dan Abdul Razak Ismail, 26. Empat daripada mereka meninggal dunia di tempat kejadian manakala Abdul Razak meninggal dunia semasa perjalanan ke Hospital Mentakab. Fatimah berkata sebelum kejadian itu tiada tanda-tanda ganjil yang ditunjukkan oleh anaknya cuma apa yang beliau perasan ialah muka anaknya itu kelihatan hitam jika dibandingkan dengan hari-hari biasa. Beliau berkata ketika kejadian, kesemua yang terkorban itu dalam perjalanan untuk pergi minum dan membahagikan upah hasil kerja kontrak mereka. "Seorang kawannya (Zulkifli) kata, malam tadi dia nak bahagikan duit gaji mereka tetapi tidak sempat sampai di tempat minum. Bila orang periksa beg duit dia selepas kemalangan itu, ada duit RM400," katanya. Zulkifli yang berkerja sebagai pekerja kontrak tinggal di rumah ibunya di Felda Bukit Mendi bersama isteri dan tiga anaknya yang berumur lima tahun, dua tahun dan tiga bulan. Fatimah yang sedih dengan kejadian itu, berkata beliau redha dengan apa yang terjadi. Sementara itu bapa kepada Mohamed Razi, Suut Saad, 53, berkata anaknya tidak menunjukkan sebarang kelakuan ganjil sebelum kejadian itu. "Cuma dua tiga hari sebelum itu dia selalu termenung," katanya. Mayat kesemua yang terkorban di tempat kejadian dituntut keluarga masing-masing di rumah mayat Hospital Bentong pada pukul 12 tengah hari tadi untuk dikebumikan di tanah perkuburan Islam Felda Bukit Mendi, Rabu. -- BERNAMA
***
Nasihat suami bagaikan kata-kata akhir
KUALA LUMPUR 26 Jan. 2005 - Seorang isteri tidak menyangka kata-kata akhir suaminya memberikan makna yang beliau akan meninggalkan mereka sekeluarga buat selama-lamanya.
Normah Yusuf, 28, berkata, arwah suaminya, Muhamad Nazri Ismail sempat berpesan agar beliau bekerja dengan tekun dan menjaga anak-anak dengan baik dan tidak mengabaikan masa depan mereka.
``Apabila arwah berkata begitu, saya terus rasa tidak sedap hati seperti ada sesuatu yang buruk akan berlaku dan tidak sangka ia benar-benar berlaku apabila Muhamad Nazri akhirnya meninggalkan kami dalam kejadian yang sungguh tragis ini,'' katanya kepada wartawan ketika menunggu untuk menuntut jenazah suaminya itu, di Hospital Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Muhamad Nazri, 28, yang merupakan penolong jurutera komputer di sebuah syarikat di Bukit Jelutong, Shah Alam Selangor meninggal dunia selepas 17 jam bertarung nyawa akibat mengalami kecederaan parah di kepalanya kerana di pukul dipercayai oleh samseng jalan raya di Jalan Kewajipan, Subang Jaya, pagi semalam.
``Walaupun semalam cuti umum di Selangor sempena Thaipusam, tetapi selepas menghantar saya bekerja, arwah bertugas kerana perlu menjaga sistem komputer Bank HSBC yang berpejabat di Kuala Lumpur.``Mungkin hendak mengelakkan kesesakan menuju ke Shah Alam, arwah menggunakan jalan di Subang Jaya dan saya hanya diberitahu arwah ditimpa kemalangan jalan raya pukul 11 pagi,'' katanya.
Normah berkata, kematian suaminya amat dirasai berikutan arwah meninggalkan dua orang anak kecil, iaitu Nur Erina Jasmin, 3, dan Nur Adriana Farisha, 10 bulan.
``Setahu saya arwah tidak mempunyai musuh atau masalah yang menjadi motif beliau dicederakan oleh dua lelaki itu,'' katanya yang berada di sisi suaminya sehingga meninggal dunia pagi ini.
Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Noh Omar antara yang datang menziarahi jenazah dan keluarganya di HKL.
Noh berkata, kejadian itu begitu memeranjatkan apabila masih terdapat kegiatan samseng jalan raya yang sanggup melakukan jenayah kejam ini.
``Ini tidak lagi melibatkan soal ahli UMNO atau tidak, tetapi nyawa orang awam. Jadi saya amat berharap orang ramai yang menyaksi kejadian ini tampil memberi kerjasama pada polis. ``Bayangkan jika jenayah ini berlaku kepada mereka sendiri,'' katanya.
Mangsa merupakan ahli Pergerakan Pemuda UMNO cawangan Jalan Kenanga, Bahagian Cheras selama hampir lapan tahun dan menetap di Taman Mawar, Puchong.
Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kuari Cheras, setelah disembahyangkan di Surau Flat Jalan San Peng pukul 4.30 petang ini.
Mangsa merupakan anak kedua dari empat adik-beradik meninggalkan bapa, Ismail Ludari, 66, dan ibu Kamsiah Yusuf, 58.Dalam pada itu, bapa mangsa, Ismail menyifatkan mangsa sebagai anak yang baik, disenangi oleh ahli keluarga kerana sikapnya yang peramah dan sentiasa mengambil berat.
***
Ibu kematian dua anak dalam 10 bulan
Oleh: YAP LEE YING
PETALING JAYA 24 Jan. 2005 - Selepas anak lelakinya meninggal dunia 10 bulan lalu akibat keracunan makanan, Jumiah Aran kehilangan pula anak perempuannya dalam satu kemalangan di Lebuh Raya Kerinchi Link, di sini awal pagi ini.
Bagaimanapun, Jumiah, 56, berkata beliau reda dengan kematian anak keenamnya, Siti Hasliza Alawi, 20, dan menganggapnya sebagai takdir.
Menurut Jumiah, pada Mac lalu, dia kehilangan anak ketujuhnya, Firdaus Alawi, 13, akibat keracunan makanan di Sekolah Menengah Raja Muda Musa, Batang Berjuntai, Selangor.
``Saya tahu semua orang akan mati. Saya pun akan mati juga, jadi saya pasrah atas pemergian mereka terutamanya Liza,'' katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 1.30 awal pagi ini, Siti Hasliza dan temannya Mohd. Zamer Kernain, 24, mati di tempat kejadian apabila kereta yang mereka naiki terbabas lalu melanggar pembahagi jalan di persimpangan Lebuh Raya Kerinchi Link.
Dalam kejadian tersebut, mereka sedang dalam perjalanan dari Pusat Bandar Damansara menuju ke Damansara.
Kata Jumiah, kali terakhir dia berjumpa dengan anaknya ialah pada Khamis lalu iaitu sehari sebelum Hari Raya Aidiladha.
``Dia ada menyatakan hasrat untuk berhenti kerja di Pasar Raya Parkson, Shah Alam walaupun tidak sampai sebulan berkhidmat di sana.
``Pada hari itu saya sempat masak ketupat dan rendang khas untuknya dibawa pulang ke rumah sewanya,'' katanya.
Sementara itu, menurut kakak kepada Mohd. Zamer, Junaina Kernain, 35, dia terkejut apabila dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 2 pagi ini oleh rakan adik bongsunya yang kebetulan terlihat kejadian itu.
``Pada pukul 11 malam, Mohd. Zamer ada menelefon ayah supaya meletakkan kunci di luar rumah kerana kemungkinan dia akan balik lewat.
``Sebelum itu, dia telah keluar rumah pada pukul 8 malam untuk menjemput temannya, Siti Hasliza di tempat kerja di Shah Alam,'' jelasnya yang ditemui di kediamannya di Seksyen 17, Shah Alam hari ini.
Tambahnya, Mohd. Zamer merupakan anak bongsu daripada tiga beradik.
``Sebelum menolong ibu berniaga di pasar malam, dia bekerja di sebuah kilang alat ganti kereta di Shah Alam.
``Malah, dia sering berulang-alik ke Sekolah Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan kerana menuntut ilmu agama,'' katanya.
Katanya, adiknya baru membeli kereta jenis Satria yang terbabit dalam kemalangan tersebut, sebulan lalu.
``Dia tidak menunjukkan sebarang perlakuan pelik tetapi pada Hari Raya Aidilfitri lalu, dia ada menyindir emak yang selalu berhari raya di Mekah.``Hari Raya Puasa mak tinggalkan adik (Mohd. Zamer), jadi Hari Raya Haji nanti, adik pula tinggalkan mak,'' katanya dengan sedih.
***
Dua pegawai kastam maut kereta rempuh pokok
Oleh: YAP LEE YING
KUALA LUMPUR 31 Dis. 2005 - Dua pegawai Cawangan Hasil Jabatan Kastam Pelabuhan Klang terbunuh apabila kereta dinaiki hilang kawalan lalu merempuh sebatang pokok di Jalan Kuching di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian pukul 1.35 pagi itu, mangsa, Yong Harmili Mohd. Jaha, 26, mati di tempat kejadian manakala Mohd. Tarmizi Mohd. Ghazali, 43, (pemandu) meninggal dunia semasa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Menurut jurucakap polis, semasa kejadian, mangsa dipercayai dari Jalan Kuching menuju ke Jalan Kinabalu dan gagal mengawal kereta Chevrolet yang dipandu lalu melanggar pembahagi jalan.
``Ini menyebabkan kereta itu terbabas lalu merempuh sebatang pokok berhampiran Bank Negara,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut jurucakap itu, kedua-dua mangsa hanya berjaya dikeluarkan oleh sepasukan anggota bomba dari Jalan Hang Tuah.
``Mereka tidak dapat diselamatkan berikutan mengalami kecederaan parah pada kepala dan dada,'' jelasnya.
Sementara itu, menurut bapa saudara kepada Yong Harmili, Jamaluddin Mat Lazim, 43, anak saudaranya tidak menunjukkan sebarang perlakuan pelik sebelum ini.
Jamaluddin yang berkhidmat sebagai Penyelia Pemandu Tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berkata, kali terakhir dia berjumpa anak saudaranya itu ialah pada malam Rabu lalu, di Stesen Sentral Kuala Lumpur.
``Masa itu Yong ingin menghantar tiga adiknya balik ke Padang Rengas, Kuala Kangsar yang datang melawatnya sempena cuti sekolah.
``Semasa berjumpa dengan Allahyarham, dia bersalaman dan mendesak untuk mengambil gambar bersama saya serta adik-beradiknya,'' jelasnya.
Tambah Jamaluddin, mangsa yang telah lapan tahun berkhidmat sebagai pegawai kastam merupakan anak sulung dari empat beradik.
Jenazah Allahyarham akan dibawa balik ke Padang Rengas dan dikebumikan petang ini.
Dalam pada itu, Mohd. Tarmizi yang telah 21 tahun berkhidmat sebagai pegawai kastam meninggalkan seorang balu dan dua anak perempuan dan dua anak lelaki berumur tujuh hingga 16 tahun.
Isterinya, Marina Baharin, 30-an, ketika ditemui memberitahu, kali terakhir dia berjumpa suaminya ialah pada pukul 9 malam tadi.
``Sebelum keluar, Allahyarham (mangsa) memberitahu bahawa dia hendak keluar minum bersama rakannya.
``Saya terkejut apabila polis menelefon memberitahu bahawa suami saya terlibat dalam kemalangan pada pukul 3 pagi ini,'' ujarnya.
Tambah Marina, dia mengenali Yong Harmili yang merupakan rakan sepejabat suaminya dan juga tinggal di Kampung Kastam Pelabuhan Klang.
Dalam kejadian berasingan, seorang pemuda berusia 23 tahun terbunuh setelah tercampak dari keretanya berhampiran Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Bangi kira-kira pukul 9.30 malam tadi.
Mangsa yang dikenali sebagai Shahrudin dan berasal dari Benut, Johor dikatakan gagal mengawal kereta Proton Satria yang dipandunya sebelum merempuh penghadang jambatan.
***
Ibu pelik 4 anak berbaju merah pada hari nahas
IPOH 13 Feb. 2005 - Ibu kepada empat mangsa yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya dekat Gerik Jumaat lepas terkejut apabila keempat-empat anaknya memakai baju berwarna merah sebelum memulakan perjalanan mereka pada hari kejadian itu.
Che Saleha Che Abdul Rahman, 50, berkata, beliau tidak tahu kenapa keempat-empat anaknya yang terbunuh itu memakai baju merah pada pagi kejadian untuk balik ke rumahnya di Sitiawan dari Kota Bharu.
``Dua lagi anak saya tidak pula memakai baju merah. Saya merasa pelik, tetapi saya tidak bertanya kenapa mereka berempat pakai baju merah kerana ia mungkin kebetulan,'' katanya kepada Bernama hari ini.
Dalam kejadian pada kira-kira pukul 1 petang itu di Kilometer 9.1 Lebuh Raya Timur-Barat, kereta Mercedes Benz E220 yang dinaiki empat beradik itu terbabas ke kanan jalan sebelum melanggar sebatang pokok di tepi jalan tersebut menyebabkan kereta berkenaan remuk.
Mereka yang terbunuh adalah pemandu kereta Intan Mazwin Mohamad Imran, 26, pegawai eksekutif di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur; Intan Maszmin, 25, pegawai di Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Putrajaya; dan Intan Syafarin Hanni, 23, penuntut tahun tiga Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam yang mati di tempat kejadian manakala seorang lagi anaknya, Intan Syafinasz, 20, pelajar tahun satu Universiti Malaya (UM) meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Gerik.
Pada waktu kejadian, kereta tersebut mengekori kereta yang dipandu suaminya, Pegawai Memerintah KD Pelanduk di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Kapten Mohamad Imran Abdul Hamid, 50, yang dinaiki bersama Che Saleha serta dua lagi anaknya Intan Maszlin, 24, dan Muhd Syaiful Amri, 13, yang dalam perjalanan dari Kota Bharu ke rumah mereka di Sitiawan.
Che Saleha berkata, pada malam sebelum kejadian ketika mereka di Lundang, Kota Bharu, Intan Syafinasz yang memakai baju putih ada memberitahu seorang sepupunya beliau merasakan seperti memakai kain kapan.
``Anak kedua saya (Intan Maszmin) dulu pernah berseloroh... kalau kita ni terlalu baik, kita akan pergi awal. Waktu itu kami sekeluarga tidak terfikir apa-apa dan kami tergelak,'' katanya.
Che Saleha yang merupakan pengetua Sekolah Menengah Batu 10, Lekir dekat Sitiawan berkata, Intan Maszmin sepatutnya bertunang pada Jun ini dan bakal tunangnya turut hadir pada majlis pengebumian semalam.
``Mungkin dengan pemergian mereka, iman saya lebih kuat dan menjadi lebih sabar,'' katanya.
``Bagaimanapun, saya pasrah dengan ujian tuhan ini. Saya bersyukur kerana dikurniakan anak-anak yang taat kepada ibu bapa. Memang anak-anak saya sejak kecil dididik dengan pendidikan agama dan diberikan penekanan oleh suami saya.
``Mereka cemerlang dalam akademik dan sangat rajin sewaktu di rumah. Kini mereka sudah tiada dan hanya tinggal dua orang anak saya sebagai pengubat hati,'' katanya.
Katanya, beliau akan tetap tinggal di rumahnya di Lot Pegawai Kerajaan, Jalan Tazali, Sitiawan bersama kenangan anak-anaknya di rumah itu.
Mengulas mengenai kejadian hari itu, Che Saleha berkata, selepas beliau meninggalkan suaminya yang mahu bersolat Jumaat di sebuah masjid di Gerik, beliau dan Intan Maszlin telah pergi ke sebuah gerai buah-buahan kira-kira 100 meter dari masjid berkenaan.
``Saya tunggu anak saya tak sampai. Tiba-tiba ada seorang lelaki Cina berhenti dan bertanya kepada orang di gerai itu, balai polis paling dekat. Dia kata ada kemalangan dua kilometer dari gerai tu.
``Saya dengar dan saya tanya kereta apa. Dia kata kereta hitam dan nampak perempuan Melayu pakai tudung... saya syak anak-anak saya. Saya minta orang Cina itu tolong bawa saya ke tempat itu.
``Bila sampai, saya tengok memang anak-anak saya. Waktu itu ramai orang di situ. Saya cuba pergi kepada anak saya, tetapi orang ramai halang saya dan tenangkan saya. Saya nampak Intan Syafinasz di sebelah pemandu masih hidup, nyawa-nyawa ikan,'' katanya. - Bernama
***

No comments: